Total Pageviews

Wednesday, December 15, 2010

Sahabat Rasulullah : Saiyidina Abu Bakar Al-Siddiq

    
     Nama sebenar Abu Bakar Al-Siddiq adalah Abdullah bin Qahafah, seorang saudagar kaya bangsawan Quraisy. Sejak sebelum kedatangan Islam, dia dikenali sebagai individu yang berakhlak mulia yang sama sekali berbeza dengan bangsawan Quraisy lain. Dua tahun lebih muda daripada Rasulullah, dia bersahabat dengan Rasulullah sejak remaja.
     Abu Bakar pernah menceritakan asal dia tertarik dengan Islam. Suatu masa ketika berurusan di Yaman, dia mengunjungi seorang tua yang rajin membaca kitab-kitab lama. Lelaki itu berkata kepadanya, “Aku kira tuan datang dari Tanah Haram”. “Benar”, jawabnya. “Aku kira tuan berbangsa Quraisy?” “Benar”, kata Abu Bakar lagi. “Tuan dari keluarga Bani Taiyim?” “Benar”, dia mengseahkan lagi.
     Orang tua itu meminta izin untuk melihat perut Abu Bakar. Katanya, berdasarkan ilmunya, dia melihat seorang Nabi Allah akan diutus di Tanah Haram. Nabi itu akan dibantu oleh dua sahabat, seorang masih muda dan seorang lagi sudah separuh umur. Sahabatnya yang muda itu berani berjuang dan menjadi pelindung dalam kesusahan. Sementara yang separuh umur itu, putih kulitnya, bertubuh kurus, ada tahi lalat di perutnya dan ada suatu tanda di paha kiri. Abu Bakar menyelak bajunya dan orang tua itu melihat tahi lalat hitam di atas bahagian pusat Abu Bakar. Tahulah dia, Abu Bakarlah lelaki yang dimaksudkan. Sehabis urusan di Yaman, Abu Bakar sekali lagi menemui orang tua itu untuk mengucapkan selamat tinggal. Orang tua itu berkirim beberapa rangkap syair untuk dibawa balik ke Mekah.
     Setiba di Mekah, beberapa orang penduduk bertemunya, memaklumkan bahawa sahabatnya Muhammad bin Abdullah telah mengaku menjadi Nabi. Abu Bakar diminta berbuat sesuatu. Abu Bakar terus menemui Muhammad. Katanya, “Tuan telah mencemarkan kedudukan keluarga tuan. Saya mendapat tahu tuan terang-terangan menyeleweng dari kepercayaan nenek moyang kita”.
Muhammad membalas, “Bahawa aku adalah Pesuruh Allah yang diutus untukmu dan untuk sekalian umat!” “Buktinya?” Tanya Abu Bakar. “Orang tua yang engkau temui di Yaman tempoh hari”, kata Muhammad. “Orang tua yang mana satu? Ramai orang tua yang aku temui di Yaman”, balas Abu Bakar semula.
Muhammad menyambung, “Orang tua yang mengirimkan untaian syair kepada engkau!” Jawapan Muhammad mengejutkan Abu Bakar, “Siapa yang memberitahumu, sahabatku?” Kata Muhammad, “Malaikat yang pernah menemui Nabi-nabi sebelumku”.
Akhirnya Abu Bakar berkata, “Hulurkan tanganmu. Bahawa dengan sesungguhnya, aku naik saksi tiada Tuhan yang kusembah melainkan Allah, dan tuan (Muhammad) sebenarnya Pesuruh Allah”.
Begitulah kisah Abu Bakar memeluk Islam dan dia menjadi lelaki pertama yang beriman kepada Rasulullah.

No comments:

Post a Comment